Tuesday, September 23, 2008

SELAMAT HARI GURU


Di kesempatan ini saya mewakili Editor ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua Guru-Guru di Brunei Darussalam khasnya Guru-Guru yang mengajar di SU Kiarong, hanya Allah Subhanahwa Taala sahaja yang dapat membalas jasamu.

(Dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta, hidup dan yang pergi selamanya)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum manjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Ugama
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.


Wednesday, September 17, 2008

KHATAM AL'QURAN SEMPENA SELESAINYA MAJLIS TADARUS SU KIARONG



Selasa 16/9 - Alhamdulillah, dalam mengimarahkan lagi bulan yang mulia lagi diberkati ini, SU Kiarong yang terdiri dari Guru-guru dan murid- murid telah berjaya mengungkayahkan Majlis khatam Al'Quran dan Tahlil Arwah sempena selasainya Tadarus di bulan Ramadhan ini, ianya bertempat di Dewan Besar SR Kiarong.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al'fatihah dan Takhtim yang dipimpin oleh Cikgu Eddy serta Tahlil dan Doa Arwah yang dibawa oleh Cikgu Ak Fakhrulrazi. Di akhir Majlis tersebut, Guru Besar SUK Cikgu Siti Aishah sempat memberi beberapa nasihat kepada murid, yang mana dalam cuti persekolahan dan Hari Raya yang akan tiba ini, murid-murid diingatkan supaya jangan sesekali lupa untuk mengulangkaji pelajaran dan dan menghindarkan diri dari perkara-perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri mereka dan yang berada di sekeliling mereka. Saya mewakili editor ingin mengucapkan selamat bercuti kepada semua warga SU Kiarong, dan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang ini.

Wasalam.

Monday, September 15, 2008

KELEBIHAN BERSAHUR


Perbezaannya jelas terletak di dalam pengambilan makanan sahur yang mana mereka tidak bersahur. Ramai juga yang tidak menyedari bahawa pada waktu bersahur juga adalah waktu yang mustajab untuk berdoa dan Allah SWT tidak akan menghampakan doa mereka.

Bagi mereka yang bersahur Allah SWT akan memberi keuntungan yang berlipat kali ganda. Selain daripada memperolehi kekenyangan dan kekuatan untuk mengerjakan ibadat puasa pada sebelah siangnya, mereka juga akan memperolehi berkat yang diturunkan pada sepanjang hari mereka melaksanakan ibadat tersebut.

Ibnu Hajar dalam mengulas
Sahih Bukhari telah menyenaraikan beberapa kelebihan puasa, yang antara lainnya ialah:


· Menuruti sunnah;

· Membezakan diri dengan Ahlul Kitab;

· Menambah kekuatan untuk beribadat;

· Meningkatkan keikhlasan dalam beribadat;

· Menghilangkan perasaan marah yang diakibatkan oleh kelaparan dan

· Mendapat peluang untuk mengingati Allah dengan berzikir dan berdoa.


  Namun, kita tidak digalakkan untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak makanan pada waktu sahur. Memadai dalam anggaran yang secukupnya bagi membantu untuk mengerjakan puasa pada keesokan harinya kerana pengambilan makanan yang terlalu banyak atau sikit pasti akan menimbulkan rasa kurang selesa. Sebaik-baik sahur yang dianjurkan ialah dengan memakan buah kurma atau tamar. Bersahur dengan memakan kurma adalah sebahagian daripada sunnah Nabi, justeru jika kita mengamalkannya, Allah SWT akan memberikan pahala sebagai ganjaran.  

Abu Hurairah ra berkata,
Sabda Rasulullah SAW: Sebaik-baik makanan sahur bagi 
orang mukmin adalah kurma
.” -HR Ibnu Hibban & Baihaqi

  Seandainya keletihan menimbulkan kesukaran untuk bersahur, Rasulullah SAW menganjurkan agar tetap mengambil sebiji kurma ataupun memadai dengan seteguk air untuk mengisi perut.
  Waktu sahur yang paling afdhal ialah pada waktu menjelang Subuh, iaitu kira-kira 10 atau 15 minit sebelum bilal melaungkan azan Subuh. Rasulullah SAW juga pernah bersabda bahawa waktu bersahur itu adalah bersamaan dengan bacaan 50 ayat suci Al-Quran.
   
Selamat bersahur dan wassalam.

Saturday, September 6, 2008

AKTIVITI MURATAL DI BULAN RAMADHAN


Lazimnya akiviti Muratal bagi guru-guru SU Kiarong kebiasaannya diadakan pada sebelah pagi hari Rabu, akan tetapi pada bulan Ramadhan ini waktunya di ubah pada hari Sabtu selepas waktu persekolahan.

Thursday, September 4, 2008

SUASANA TADARUS DI BULAN RAMADHAN SUK


TADARUS DI JAME' ASR


Rabu 3/9 - Dalam menghidupkan lagi suasana dibulan Ramadhan yang Mubarak ini, S.U Kiarong Kawasan Brunei III telah diberi kepercayaan dalam membuka tirai Majlis Bertadarus Sekolah Sekolah Ugama Kawasan Brunei III di Masjid Jame'Asr Hassanal Bolkiah Kiulap. Alhamdulillah walaupun keadaan masa yang agak begitu singkat dalam waktu persekolahan, pujian patut diberikan kepada murid-murid yang ikut menyamarakkan lagi majlis tersebut, biarpun dengan berpakaian unifom sekolah pagi. Semoga Majlis yang seumpama ini akan dapat diteruskan dan di pertingkat dari masa ke semasa.

Wednesday, September 3, 2008

SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN


Selamat menunaikan Ibadah Puasa kepada seluruh Umat Islam khususnya kepada kesemua warga SU Kiarong.

MAJLIS SAMBUTAN ISRA'MIKRAJ SU KIARONG




Khamis 28/8 - Dalam mengingati hari-hari kebesaran Islam, SU Kiarong Brunei III tidak melepaskan peluang bagi meraikan dan mengimarahkan salah satu hari-hari kebesaran tersebut iaitu Isra'Mikraj dan di ikuti dengan Majlis Perpisahan bagi guru yang melanjutkan pelajaran (Cikgu Shahrol Azmi bin Hj Abd Mulok) dan berpindah tempat bertugas (Cikgu Hjh Rudiah bte Brahim). Majlis tersebut diadakan di dewan besar SR Kiarong.

Ianya dimulakan dengan bacaan Surah Al fatihah dan bacaan Tahlil beramai-ramai yang di kepalai oleh Cikgu Ak Md Fakhrurrazi bin Pg Hj Omar. Seterusnya di ikuti dengan pertandingan azan dan menghafaz surah-surah lazim bagi rendah bawah dan kaifiat Yassin dan Tahlil bagi rendah atas, Majlis juga diserikan dengan persembahan Nasyid murid-murid gabungan Darjah 4 alif & 4 Ba dan persembahan slideshow. Sebelum bacaan doa selamat dibacakan, penyampaian Cenderahati kenang-kenangan diserahkan kepada guru yang diraikan, yang mana disampaikan oleh Guru Besar SU Kiarong Cikgu Siti Aisyah bte Hj Selamat.